Tuesday, 4 March 2014

Welcome~



We are Han Siaw Hui and Alice Tang Swee Chin from IPGKI =) Both of us as a teacher to be would like to share what we have learn to all~

Pengenalan
            Pendekatan pemulihan merupakan suatu kaedah rawatan dan pemulihan yang dianggap penting pada masa kini bagi menangani masalah yang dihadapi oleh murid-murid yang gagal menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Di samping itu, program pemulihan yang dilaksanakan ini juga dapat memberi ruang kepada murid-murid yang rendah intelek untuk mendapat peluang pendidikan yang sama seperti yang dinikmati oleh murid-murid normal.
            Program Pemulihan telah dilaksanakan semenjak tahun 60-an bagi membantu murid-murid sekolah rendah yang menghadapi masalah pembelajaran khususnya masalah menguasai kemahiran 3M. Penguasaan kemahiran asas 3M di peringkat awal terutama di Tahun 1 adalah amat penting untuk mengatasi “Academic Deficit” dalam kalangan murid-murid sekolah rendah daripada berterusan hingga ke sekolah menengah. Dalam erti kata lain, semua murid Tahap 1 harus dan mampu menguasai kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira. Hal ini bermakna murid-murid Tahap 1 mesti mencapai kompetensi yang disasarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
            Program KBSR (Kurikulum Baru Sekolah Rendah) menitikberatkan strategi pengajaran secara kumpulan. Murid-murid diajar mengikut kebolehan mereka supaya mereka dapat menguasai kemahiran asas 3M tersebut mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Bagi murid-murid yang masih belum berjaya menguasai kemahiran tersebut, mereka haruslah menjalani program pemulihan. Melalui program pendidikan pemulihan ini sama ada dalam kelas biasa atau kelas khas, diharapkan murid-murid tersebut mendapat peluang meneruskan pelajaran mereka seperti murid-murid biasa.
            Rumusannya, perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar individu murid mengakibatkan segolongan murid lebih lambat atau ‘terkebelakang’  menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakan sebayanya. Sekiranya mereka tidak diberi pengajaran pemulihan, mereka mungkin gagal memperoleh pendidikan yang perlu dan potensi mereka akan terbenam. Justeru, melalui program pemulihan khas, keperluan-keperluan murid berpencapaian rendah dikenal pasti dan dipenuhi.