Pengenalan kepada Pendidikan Pemulihan
Dalam tahun 1983, Sistem Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah(KBSR). Kurikulum baharu ini merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan, iaitu yang memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas 3M dan penekanan kepada pendidikan pemulihan. Hal yang sedemikian ini menjadikan masalah dalam pembelajaran pada peringkat sekolah rendah menjadi fokus polisi dan program utama negara.
Program pemulihan telah disediakan bagi membantu murid mengatasi masalah kelemahan khusus dalam pembelajaran terutamanya dalam penguasaan kemahiran asas 3M. Kumpulan murid yang telah dikesan dan dikenal pasti sebagai belum menguasai kemahiran asas 3M pada tahap yang tertentu akan mengikuti Program Pemulihan Khas. Program ini menggunakan pendekatan klinikal untuk ‘merawat’ kesukaran belajar atau masalah dalam pembelajaran yang dihadapi oleh murid yang berkenaan.
Sejarah Pendidikan Pemulihan
Sejarah Pendidikan Pemulihan bermula di luar negara iaitu di Amerika selepas termaktubnya Public Law 94-142. Akta Pendidikan untuk kanak-kanak khas ini menjelaskan bahawa semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak berkeperluan khas wajib menerima pendidikan di sekolah-sekolah biasa dan sekolah khas. Pada tahun 1990, Public Law 94-142 diberi nama baharu iaitu IDEA (Individuals with Disabilities Education Act) dan diperluaskan. Melalui akta ini, pendidikan untuk semua dan pendemokrasian pendidikan diperkemaskan. Undang-undang ini menunjukkan betapa pentingnya kanak-kanak pemulihan dan berkeperluan khas diberi perhatian.
Antara yang ditekankan ialah:
- Penyediaan pendidikan percuma dan pendidikan bercorak awam yang sesuai kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
- Penglibatan ibu bapa dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan setiap murid. Memberi dan membuka ruang kepada ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak khas untuk melibatkan diri dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan untuk anak-anak mereka.
- Kanak-kanak khas dilindungi daripada sebarang elemen yang bercorak diskriminasi dalam penilaian pendidikan.
- Pendidikan kanak-kanak khas dilaksanakan dalam persekitaran yang tidak menghalang mereka untuk berkembang.
No comments:
Post a Comment