KAEDAH PELAKSANAAN PROGRAM
Program
pemulihan merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu murid-murid yang
tidak menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira. Semua sekolah rendah
kecuali sekolah kecil (under enrolmen) diperuntukkan satu perjawatan Guru
Pemulihan Khas. Peruntukan Guru Pemulihan Khas ini tidak termasuk dalam
perkiraan peruntukan guru asas. Guru Pemulihan Khas tidak terlibat sebagai guru
penganti kepada guru asas atau sebagai guru kelas sesuatu darjah. Mereka berkhidmat
sepenuh masa melaksanakan program pendidikan pemulihan dan program pendidikan
pemulihan itu perlu mendapat kelulusan bertulis daripada Pengarah pendidikan
Negeri. Dalam melaksanakan program tersebut
program ini memerlukan satu proses yang saling berkaitan di antara satu
sama lain. Proses yang terlibat ialah pencalonan murid, ujian saringan, ujian diagnosik, pengajaran
dan pembelajaran, penilaian dan tindakan susulan.
Pencalonan
murid pemulihan adalah proses utama kepada pemilihan calon untuk ditempatkan di
dalam program pemulihan. Pencalonan murid pemulihan boleh dilakukan oleh guru
kelas, guru mata pelajaran, guru besar dan ibu bapa atau penjaga. Guru kelas
boleh mencalonkan murid-murid untuk mengikuti kelas berdasarkan pencapaian
murid dalam kemahiran asas (menulis, membaca dan mengira), hasil kerja murid
dalam kelas atau keputusan ujian bulanan, semester atau ujian setiap kemahiran.
Guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik juga boleh mencalonkan murid
yang diajar oleh mereka untuk mengikuti kelas pemulihan berdasarkan kepada
pencapaian mereka. Apabila murid-murid ini lemah dan tidak menguasai kemahiran
yang disasarkan maka mereka layak untuk dicalonkan ke kelas pemulihan. Selain
itu, guru besar boleh mencadangkan murid-murid berdasarkan penelitian kad-kad
laporan murid dan pemerhatian secara am sama ada di sekolah atau di luar
sekolah. Ibu bapa atau penjaga juga boleh mencalonkan anak-anak mereka untuk
mengikuti program pendidikan pemulihan khas berdasarkan masalah pembelajaran
anak mereka.
Bagi
pengumpulan maklumat, butir-butir individu dan prestasi murid akan menolong
guru pemulihan memahami murid yang dicalonkan. Ini akan membolehkan seorang
guru pemulihan membuat keputusan sama ada murid itu akan mengikuti program
pemulihan atau tidak. Daripada rekod individu, guru pemulihan juga dapat tahu
tentang beberapa aspek penting seperti kesihatan, taraf ekonomi keluarga dan
kebudayaan di rumah yang mungkin ada hubungan dengan kegagalan murid. Kemajuan
akademik dapat menunjukkan prestasi murid dalam mata pelajaran-mata pelajaran
asas. Sumber maklumat yang lain ialah guru besar boleh campur tangan
berdasarkan peninjaun rekod murid, pemerhatian dan perhubungan. Guru kelas
boleh menambahkan maklumat dengan mengambil tahu berkenaan dengan kehadiran,
ketepatan masa ke sekolah, kadar dan taraf kerja, kebiasaan-kebiasaan serta
perhubungan dengan murid-murid lain. Ibu bapa boleh memberitahu tentang tingkah
laku umum, kegemaran dan perkara-perkara yang ia tidak gemar serta sikapnya
terhadap pelajaran. Seterusnya, guru pemulihan juga boleh merujuk kepada borang
rujukan yang boleh menunjukkan secara
umum kelemahan-kelemahan murid, iaitu borang rujukan yang mengandungi kemahiran
asas membaca, kemahiran asas mengira dan tingkah laku di bilik darjah.
Selanjutnya
ialah ujian saringan. Ujian saringan ialah satu instrument pengukuran yang
menyeluruh terhadap kekuatan dan kelemahan dalam penguasaan kemahiran-kemahiran
asas oleh murid secara individu untuk dicalonkan bagi mengikuti Program
Pemulihan Khas. Ujian ini dapat mengesan murid-murid yang lemah dan memerlukan
bantuan pemulihan khas. Dengan lain perkataan, ujian saringan bertujuan untuk
menentukan calon yang layak untuk dimasukkan ke dalam program pemulihan khas.
Bahan atau topik dalam ujian saringan merangkumi hanya kerja-kerja yang telah
diajar oleh guru kelas sehingga masa saringan diberikan. Oleh itu senarai
kemahiran yang diuji hendaklah ditentukan dan direkodkan dalam Jadual Penentu
Ujian. Ujian boleh dijalankan apabila pencalonan diterima. Bilangan murid yang
diterima masuk ke kelas Pemulihan Khas berdasarkan beberapa faktor antaranya
ialah skor yang lemah, jenis masalah yang dihadapi oleh murid dan ruang yang
ada untuk kelas pemulihan khas.
Murid-murid
akan menjalankan ujian diagnostik jika mereka tidak dapat menguasai kemahiran
3M. Ujian diagnostik adalah ujian yang terpenting dalam program Pendidikan
Pemulihan Khas. Ujian ini wajib dijalankan dengan tujuan untuk membantu GPK
mengesan kawasan-kawasan kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh seseorang
murid secara khusus dan seterusnya membentuk objektif pengajaran (baseline).
Ujian ini dibentuk bukan untuk menilai peringkat pencapaian tetapi untuk
mengesan masalah-masalah yang dialami ketika belajar dan mengenal pasti punca
kegagalan murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. Ujian ini juga merupakan sebagai
panduan untuk membina dan mentadbir Ujian Diagnostik, Guru Pemulihan Khas boleh
merujuk Buku Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M)
terbitan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (2000).
Di
samping itu, penganalisaan keputusan hendaklah dikumpul dan direkodkan dan
diberi intepretasi dengan cermat untuk memastikan masalah-masalah murid.
Keputusan analisa ujian diagnostik akan menunjukkan daerah-daerah kelemahan dan
kekuatan seseorang murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. Cara ini dapat
membantu guru mengenal pasti kumpulan tertentu mengikut kebolehan dan
daerah-daerah kesukaran yang dihadapi. Analisa kesalahan ujian tersebut juga
dapat membantu guru merancang satu program pengajaran yang khusus kepada
seseorang individu atau kepada satu kumpulan dengan lebih tepat dan sistematik.
Berdasarkan kepada analisa kesalahan ujian diagnostik tersebut, guru pemulihan
dapat mengenal pasti daerah-daerah kelemahan murid yang telah dipilih.
Daerah-daerah kelemahan itu akan membantu guru untuk memilih kemahiran yang
tepat untuk memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Bagi
tindakan susulan, murid yang telah dapat menguasai kemahiran yang telah
dipulihkan akan menjalankan kerja susulan yang dijalankan oleh guru kelas biasa
dengan bantuan dan kerjasama daripada GPK apabila perlu. Guru kelas, guru mata
pelajaran dan guru pemulihan perlu saling bekerjasama antara satu sama lain
bagi mengukuhkan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid pemulihan. Murid
pemulihan yang berjaya menguasai kemahiran akan ditempatkan semula ke kelas
biasa untuk mengikuti proses pembelajaran seterusnya. Mereka akan sentiasa
dipantau oleh guru pemulihan ketika berada di kelas biasa. Tujuannya ialah
untuk melihat perkembangan pelajar tersebut di samping membantu guru di kelas
biasa dalam proses pengajaran mereka. Jika terdapat masalah terhadap murid
tersebut, maka guru pemulihan akan bertindak segera untuk menyelesaikannya.
No comments:
Post a Comment